Tuesday 4 December 2012

Kisah Sayyidina Hassan bin Ali dan Pemuda Badwi..

      Sayidina Hassan bin Ali ra, adalah seorang tokoh Islam yang sangat dicintai oleh umat Islam. Sebagai seorang cucu Rasulullah saw beliau adalah ibarat permata di zaman hidupnye kerana memiliki budi pekerti yang mulia dan terpuji.

       Pada suatu hari sedang Sayidina Hassan duduk di muka pintu rumahnya, tiba-tiba datang seorang pemuda Badwi, lalu mencacinya dan juga kedua ibu bapanya. Anehnya, Sayidina Hassan hanya mendengar sahaja tanpa sedikit pun berubah air mukanya, atau membalas kata-katanya itu.

       Sayidina Hassan berkata kepada orang itu : "Wahai Badwi, adakah engkau lapar atau dahaga? atau adakah sesuatu yang merunsingkan hati engkau?" tanpa mempedulikan kata-kata Sayidina Hassan, Badwi itu terus memaki hamunnya. Oleh itu Sayidina Hassan pun menyuruh pembantu rumahnya membawa uncang yang berisi wang perak lantas diberikan kepada Badwi itu dan ber kata "Wahai Badwi, maafkanlah saya. inilah sahaja yang saya miliki. Jika ada yang lebih tidak akan saya sembunyikannya dari padamu."

     Sikap dan layanan Sayidina Hassan itu akhirnya berjaya melembutkan hati Badwi tersebut. Badwi itu menangis teresak-esak lantas sujud di kaki Sayidina Hassan dan berkata "Wahai cucu baginda Rasulullah saw maafkan aku kerana berkasar terhadapmu. Sebenarnya, aku sengaja melakukan begini untuk menguji kebaikan budi pekertimu sebagai cucu baginda Rasulullah saw yang aku kasihi. Sekarang yakinlah aku bahawa engkau mempunyai budi pekerti yang mulia sekali."